• tsunami

     

    gambar dan petikan ikhsan utusan online

    KUALA LUMPUR 26 Dis. – Lebih 11,000 orang terkorban termasuk 43 di Malaysia dilanda ombak besar akibat gempa bumi di utara Sumatera hari ini yang paling dahsyat di dunia dalam tempoh 40 tahun.

    Dua negeri paling teruk terjejas ialah Pulau Pinang dan Kedah. Sebanyak 32 daripada 43 mangsa terkorban di negara ini adalah di Pulau Pinang, sembilan di Kedah dan dua lagi di Perak.

    Malapetaka ombak besar yang dikenali sebagai ‘tsunami’ yang terbentuk daripada gempa berukuran 8.9 pada skala Richter tersebut turut mengakibatkan beribu-ribu lagi hilang dan dikhuatiri terbunuh di kawasan pantai barat Asia serta kemusnahan teruk di bandar serta pulau peranginan di Malaysia, Thailand, Sri Lanka, India, Myanmar serta di Sumatera sendiri.

    Ombak besar setinggi hingga 6 meter menerjah pesisiran pantai negara-negara terlibat juga, yang mendatangkan malapetaka, merupakan yang kelima terbesar sejak tahun 1900.

    Di Malaysia, keadaan turut menjadi panik kira-kira pukul 9 pagi ini apabila bangunan-bangunan tinggi di beberapa negeri serta di ibu negara turut bergegar, kesan daripada gempa tersebut, menyebabkan orang ramai bergegas menyelamatkan diri sebagai langkah berjaga-jaga.

    Para pesakit terpaksa dipindahkan keluar bangunan hospital di beberapa negeri sebagai langkah berjaga-jaga.

    Kebanyakan mangsa di Pulau Pinang sedang berkelah dan memancing di tepi pantai di Batu Ferringhi dan di Balik Pulau, ketika ombak itu melanda kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang kini berada di luar negara telah mengarahkan supaya langkah segera diambil untuk mempermudahkan apa juga bantuan yang perlu dikeluarkan untuk membantu mangsa tragedi itu.

    Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak pula mengarahkan penduduk di kawasan pantai yang berisiko di Pulau Pinang dan Kedah segera dipindahkan kerana dikhuatiri `tsunami’ berulang lagi.

    Enam orang termasuk budak perempuan berusia 15 tahun masih hilang di Kedah manakala empat mangsa dilaporkan masih hilang dan 141 cedera di Pulau Pinang.

    Di Kedah, lapan terbunuh di daerah Kuala Muda dan satu lagi mangsa di Langkawi.

    Antara yang terbunuh di Kuala Muda ialah bayi lelaki berusia tujuh bulan, selepas ombak besar melanda sembilan kampung dan memusnahkan 1,000 rumah di kawasan itu.

    Pulau peranginan Langkawi turut terjejas dengan seorang wanita yang lumpuh berusia 80 tahun lemas dihanyut air manakala tiga pelancong Australia cedera.

    Di Perak, dua lelaki terkorban manakala seorang lagi hilang apabila sampan dan bot yang mereka naiki karam dipukul ombak besar dalam kejadian berasingan petang ini.

    Di Perlis, lebih 70 buah bot nelayan rosak dan kebanyakannya tenggelam dalam kejadian itu terutama di Kuala Sungai Baru.

    Kawasan lain yang terlibat ialah Kuala Sanglang, Sungai Padang dan Kurong Tengar.

    Beberapa bangunan di pinggir muara sungai turut roboh.

    Sementara itu di Klang, seorang lelaki yang sedang memancing ikan bersama tiga rakannya di Pantai Sungai Burung hilang selepas terpelanting ke laut akibat pukulan ombak besar itu.

    Di India dan Sri Lanka iaitu dua negara yang paling teruk, sekurang-kurangnya 6,500 kematian dilaporkan dan memaksa kerajaan Sri Lanka mengisytiharkan darurat di negara itu.

    Bencana alam tersebut meragut sekurang-kurangnya 4,500 nyawa apabila kawasan pantai timur dan selatan Sri Lanka dilanda ombak besar dan banjir kilat.

    Sementara itu di India, sekurang-kurangnya 2,000 mangsa terkorban selepas kawasan pantai di selatan negara itu turut dilanda ombak besar, kata Menteri Dalam Negeri, Shivraj Patil.

    `Kira-kira 200 mangsa terbunuh di negeri Andhra Pradesh sementara di Tamil Nadu, sekitar 800 kematian dilaporkan,” kata Patil.

    Bencana itu turut melanda negeri Kerala selain kawasan di kepulauan Andaman dan Nicobar, di Teluk Benggala.

    “Kita telah mengarahkan penghantaran segera pesawat-pesawat yang membawa bantuan kecemasan seperti ubat-ubatan, makanan serta selimut untuk mangsa-mangsa di kawasan yang dilanda banjir kilat tersebut,” kata beliau.

    Di Thailand, sekurang-kurangnya 310 mangsa terkorban dan lebih 2,000 cedera apabila enam buah wilayah di selatan negara itu dilanda ombak besar sehingga lima meter tinggi.

    Ombak besar dan banjir kilat yang melanda kawasan Phuket, Koh Pi Pi, Songkhla, Krabi, Phang Nga dan Surat Thani dilaporkan memusnahkan rumah-rumah serta premis lain di kawasan pantai.

    Sepasang suami isteri warga Malaysia dilaporkan terbunuh ketika menyelam di Gua Emerald, yang merupakan tumpuan pelancong asing di selatan Thailand.

    Di Indonesia sendiri, lebih 4,185 mangsa terkorban. Ketua Pusat Persediaan Darurat Indonesia, Doti Indrasanto berkata, jumlah kematian di wilayah Acheh meningkat kepada 1,400 orang terutama di daerah Deli Serdang dan Nias di selatan Acheh.

    Ia turut memusnahkan beribu-ribu rumah di sepanjang kawasan pantai selain beribu-ribu lagi mangsa dilaporkan masih hilang.

    Di Myanmar, yang turut dilanda ombak besar menyaksikan sekurang-kurangnya 10 penduduk terkorban sementara sejumlah bot nelayan karam.

    Takziah diucapkan kepada mangsa bencana gempa bumi dan ombak tsunami tersebut…

Leave a comment

:D :) :( :o 8) :eek: ;-( :grin: :wink: :arrow: :idea: :?: :!: :evil: O:) :-| :-* :-(( :poke: :love: :tired: :emotion: :party: :clown: :worried: X( :p